Wednesday, April 21, 2010

Peranan Bloggers dalam pilihanraya

Pada pilihanraya kecil Hulu Selangor kali ini nampaknya BN menggunakan kesempatan terbaik melalui blog. Perubahan yang baik apabila media baru digunakan dalam musim berkempen. Saban hari kita baca dan cuba memahami kehendak masyarakat yang diluahkan melalui media baru ini. Sekiranya media baru ini tidak diambil peduli maka keputusan pilihanraya sudah boleh diagak.

Satu lagi media yang BN tak boleh lupakan ialah SMS/MMS melalui telefon yang telah diguna pakai oleh pihak pembangkang secara meluas pada PRU lalu. Mungkin sedikit analisis boleh dibuat akan keberkesanan kempen melalui cara ini. Namun hakikatnya sesiapa sahaja yang menerima pujukan melalui SMS/MMS ini hati akan terusik juga.

Pilihanraya kecil Hulu Selangor ini juga memperlihatkan perubahan BN yang selama ini hanya sebagai defensif kini bertukar menjadi ofensif. Inilah sepatutnya kerana BN hendak merampas kembali kerusi Hulu Selangor, PKR pula ingin mempertahankan kerusi tersebut.

Sekali imbas kedua-dua calon mempunyai peluang yang sama rata. BN mempertaruhkan calon baru yang dilihat bersih manakala PKR mempertaruhkan calon yang berpengalaman dalam kerajaan dan dikatakan mempunyai prinsip memperjuangkan rakyat.

Dalam kerancakan berkempen kedua-dua pihak tidak seharusnya bertindak kasar atau melangkaui batas-batas perundangan. BN sebenarnya tidak lagi perlu memainkan isu pembangunan kerana modal ini sudah sekian lama digunakan. BN perlu menggunakan isu perkhidmatan terbaik yang boleh diberikan kepada pengundi Hulu Selangor.

Pemilihan calon anak tempatan adalah langkah yang bijak jika isu perkhidmatan yang akan ditawarkan kepada pengundi diberi keutamaan. PKR tidak mengutamakan anak tempatan tetapi masih mahu memberikan perkhidmatan terbaik untuk pengundi Hulu Selangor. Dalam satu keadaan pengundi sendiri tidak mengutamakan calon tempatan atau tidak, hanya yang penting parti yang bertanding dan dapat memenuhi kehendak mereka. Ini terbukti semasa PRK Bukit Gantang yang mana calon anak tempatan tewas kepada calon luar.

Pengundi kumpulan umur 40 ke bawah sebenarnya penentu kepada kemenangan calon. Jika kumpulan ini tidak didekati secara baik oleh BN maka boleh juga dijangka keputusan yang akan diperolehi. Selain itu pengundi yang tinggal diluar Hulu Selangor juga perlu dianalisis bilanganya. Mereka juga boleh memberi impak kepada keputusan. Kumpulan ini hanya balik untuk mengundi dan pilihan mereka sudah ada. Keperluan BN membawa balik seramai mungkin pengundi luar yang menyokong BN harus diberi keutamaan.

Berdasarkan PRU lalu majoriti kurang dari 200 adalah bukti bahawa peluang sama rata. Strategi kempen yang akan menentukan kemenangan. Selamat mengundi kepada semua pengundi di Hulu Selangor.