Tuesday, April 13, 2010

Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama

Jawatankuasa ini telah diluluskan oleh jemaah menteri pada Februari lalu. Setakat ini Jawatankuasa Fatwa Perak telah membantah termasuk juga pertubuhan PERKASA. JK Fatwa Perak bimbang akan wujud tuntutan tidak munasabah di kalangan penganut agama lain.

PERKASA bertindak tegas kerana Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama ini diletakkan dibawah seliaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Pertikaiannya kenapa tidak diletakkan di bawah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab mengenal pasti masalah yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama, termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat dan isu tanah perkuburan. Jika ini isu yang hendak diselesaikan sekiranya berbangkit maka sudah tentu Islam hendaklah mendahului agama-agama lain. Dengan kata lain jawatankuasa ini hendaklah dipengerusikan oleh seorang yang berilmu pengetahuan mengenai Islam yang tinggi dan diiktiraf oleh semua supaya keputusan yang dibuat tidak ada pertikaiannya.

Bersediakah ahli yang bukan Islam menerima pakai segala penyelesaian masalah nanti berpandukan sumber-sumber dari Al-Quran dan Sunnah. Jika mereka sudah bersedia maka jawatankuasa ini tidak akan ada masalah. Semua jelas bahawa Islam bukan setakat menyelamatkan umatnya sahaja tetapi ia juga penyelesaian kepada kemaslahatan ummah.

Selain itu jawatankuasa ini diwujudkan untuk menyelesaikan masalah bukannya untuk mewujudkan masalah dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan. Sekiranya ada tuntutan sudah tentu akan wujud tidak puas hati maka sebaiknya jawatankuasa ini dibubarkan sahaja.

Kaedah lain yang boleh diguna pakai ialah wujudkan perjumpaan berkala antara Mufti-mufti, ahli Fatwa dengan ketua-ketua agama lain dalam mendepani masalah yang berkaitan dengan agama.

Monday, April 12, 2010

Buang Anak

Kempen kami prihatin yang dijalankan oleh akhbar tempatan sangat baik. Semoga kesedaran dalam diri masyarakat akan bertambah. Masalah buang anak masih menjadi topik utama dalam kehidupan kita kebelakangan ini. Hampir setiap bulan pasti ada berita anak dibuang. Terbaru seorang anak dibuang didalam tong sampah di hulu selangor. Sedih dan pilu bila melihat berita tersebut.

Mungkin bila kita guna istilah buang anak lebih menyedarkan masyarakat berbanding buang bayi. Istilah anak itu sendiri akan membawa satu perasaan yang boleh menyentuh jiwa manusia.

Khutbah Jumaat pada 9.04.2010 juga turut berperanan menyedarkan akan dosa besar membuang anak. Namun kesinambungan dari khutbah Jumaat ini adakah sampai ke sasaran individu yang terlibat dengan kes buang anak ini.

Persoalannya satu khutbah Jumaat yang sangat baik isi kandungannya bagaimanakah boleh didengar dan difahami oleh semua golongan masyarakat. Sudah tentu kebanyakan orang lelaki yang bersembahyang Jumaat tidak akan menceritakan akan isi kandung khutbah yang didengarinya kepada kaum wanita. Kalau amalan menyampaikan semula isi kandungan khutbah Jumaat ini kepada kaum keluarga,sahabat handai dikalangan wanita insyaallah dakwah ini akan memberi kesan.

Bagaimana kaedah khutbah Jumaat dapat diakses oleh kaum wanita hendaklah difikirkan kerana kes buang anak ini sudah tentu melibatkan kaum wanita.