Sunday, October 31, 2010

PERGINYA SEORANG IBU TERCINTA

1. Pada 29.10.2010 jam 9.28 malam bonda tersayang telah kembali kerahmatullah di hospital seri manjung wad 8 katil 26 dihadapan anak-anak dan menantu.

2. Perjalanan bermula apabila mengetahui bahawa bonda mengidap barah hati pada 14.9.2010 selepas scan di hospital pantai ipoh. Tahap kesihatan bonda terus menurun sehinggalah saat menghembuskan nafas yang terakhir.

3. Sepenuhnya ruang dan peluang yang ada mulai tarikh 14.9.2010 telah digunakan oleh anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu untuk bersama bonda.

4. Sepanjang waktu tersebut tahap kesihatan bonda memang merisaukan walau semuanya telah redho dengan ketentuan namun melihatkan kesihatan yang semakin lemah amat menyentuh jiwa. Anak-anak, menantu-menantu dan cucu hanya mampu melihat tanpa boleh merasainya.

5. Bonda pergi dalam usia 70 tahun 5 bulan. Bonda yang sangat rapat dengan anak-anaknya, yang selama 25 tahun susah senang cuma dengan anak-anaknya sahaja. Begitulah betapa gigihnya seorang ibu yang menempuh hidup tanpa suami yang hanya anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu sahaja menjadi penghibur hati.

6. Bonda yang begitu hebat di mata anak-anak, menjadi tempat mengadu, menjadi tempat merintih, menjadi tempat bergembira kini semuanya hanya tinggal kenangan yang pastinya tidak akan luput walaupun seketika.

7. Aku berazam untuk setiap selepas solat pastinya akan menghadiahkan Alfatihah dan KulhuAllah untuk bonda dan ayahanda tercinta. Semoga Allah sentiasa memberikan peringatan kepada aku untuk sentiasa mengingati Bonda dan Ayahanda.

8. Betapa sekarang terasa sunyi selepas perginya bonda menghadap Ilahi. Ya Allah kau ampunkanlah dosa bonda dan ayahanda, kau cucurilah rahmat ke atas roh mereka berdua, kau tempatkan mereka berdua ditempat orang-orang beriman, kau lapangkanlah kubur mereka, kau masukkan lah mereka kedalam syurgaMu ya Allah.