Wednesday, December 8, 2010

1 MUHARRAM 1432

1. Alhamdulillah masih diberi rezeki untuk bernafas pada tanggal 1 Muharram 1432 ini.

2. Tahun baru Hijriyah ini pada dasarnya umat islam patut lebih menyambutnya dan menginsafi diri berbanding tahun baru masehi.

3. Memperingati peristiwa hijrah Rasullullah amat menginsafkan kita bahawa betapa mulianya Rasul pilihan. Betapa kita amat jauh untuk mencapai darjat hijrah yang sebenar.

4. Mengingati akan pengorbanan para sahabat baginda semasa hijrah juga menginsafkan kita betapa kecilnya nilai pengorbanan yang kita telah lakukan untuk Islam.

5. Semoga tahun 1432 Hijriyah ini akan membawa lembaran baru dalam cara kehidupan kita supaya lebih berpaksikan Islam.

Tuesday, November 23, 2010

CUTI SEKOLAH DATANG LAGI


Seronoknya dapat bawak keluarga pergi bercuti. Selain bergembira ia juga satu wadah untuk mewujudkan hubungan kekeluargaan yang akrab.


1. Cuti sekolah ialah waktu yang paling baik untuk membawa keluarga pergi bercuti.

2. Dalam keseronokan pergi bercuti masih ada perkara yang perlu diberi perhatian.

3. Kemampuan kewangan, soal kewangan adalah faktor utama dalam merancang percutian. Bercutilah ikut kemampuan kewangan agar selepas bercuti tidak ada beban yang nak ditanggung.

4. Tempat atau destinasi percutian, perlu dirancang agar perjalanan percutian tidak diganggu dengan masalah-masalah penginapan, kenderaan dan makan minum, carilah tempat percutian yang ada kemudahan penginapan dan makan minum yang senang.

5. Aktiviti semasa bercuti, selain pergi bercuti untuk berehat sebenarnya bercuti juga adalah satu kaedah pembelajaran kepada anak-anak. Bawalah anak-anak dan keluarga ke tempat yang mereka boleh belajar sesuatu yang baru.

6. Individu yang terlibat, dalam merancang percutian mungkin lebih menarik sekiranya dirancang bersama ahli keluarga yang lain ataupun rakan-rakan yang lain supaya suasana percutian akan lebih meriah.

7. Jangan lakukan, elakan percutian anda yang boleh menyusahkan orang lain. Sengaja pilih tempat yang ada keluarga supaya dapat jimat kos penginapan dan makan minum. Jangan menumpang percutian orang lain.

8. Selamat bercuti, bawalah anak-anak bercuti dalam negara, luar negara atau ke mana sahaja ikut kemampuan.

Monday, November 15, 2010

AMALAN ZIARAH

1. Alhamdulillah kerana Allah S.W.T telah menggerakkan dan memberi peluang dan ruang aku dan Icam pada hujung minggu lepas bergerak untuk menziarahi ahli keluarga yang duduk jauh selepas mereka balik ke rumah masing-masing selepas arwah Bonda meninggal.

2. Terlalu banyak kenangan dapat dikongsi bersama, bercerita kenangan bersama arwah Bonda, mengingatkan akan ketulusan hati seorang Ibu.

3. Tak terkata akan kegembiraan aku dan icam apabila dapat berborak dengan Abang dan Ami sebab lama tak berborak dengan mereka.

4. Dalam masa yang sama dapat menguatkan lagi ukhwah kekeluargaan. Ikatan kasih sayang antara abang dan adik.

5. Menziarahi rumah intan cukup mengembirakan apabila melihat tiada apa yang musnah selepas keluarganya di timpa musibah banjir di Perlis. Inilah juga amalan yang dilakukan oleh Ibu semasa hayatnya ada.

6. Walau pergi berdua ngan icam namun terasa seperti membawa bersama Bonda.

7. Balik dari rumah intan singgah di rumah atih di taiping dan seronok dapat makan tengah hari di sana. Hidangan disediakan seolah-olah kami makan dengan arwah ibu kerana ikan belanak adalah ikan kegemarannya.

8. Tengahari ahad pula aku, icam dan Aniq ke rumah Abang di KL. Makan tengah hari disana. Abang seronok masak. Ami datang dan makan bersama. Berborak sambil makan adalah suasana yang sangat seronok.

9. Inilah amalan ziarah yang cukup ditekankan dalam islam kerana pasti amalan ini membawa banyak kebaikan dan jika dibuat dengan ikhlas pastinya keberkatan yang diperolehi.

10. Inilah juga kesinambungan daripada amalan bonda semasa hayatnya. Semoga amalan ini akan menjadi amalan aku pada masa-masa akan datang.

Tuesday, November 9, 2010

KENANGAN BERSAMA IBU TERCINTA

RINDUNYA SUASANA INI....

SUASANA INI........

ALHAMDULILLAH ANIQ SEMPAT MANJA DENGAN ATOKNYA

JELAS TERPANCAR KECERIAAN DI WAJAH IBU

KEGEMBIRAAN IBU APABILA ANAKNYA MELANGKAH KE ALAM PERKAHWINAN


TAHNIAH MUHAMMAD ANIQ MUQRI

1. Tahniah Muhammad Aniq Muqri kerana dapat nombor 1 dalam peperiksaan akhir tahun Tadika Islam Nur As- Shahadah.

2. Kerenahnya yang malu + takut nak sekolah sebenarnya telah membawa hasil yang baik.

3. Sepanjang setahun aniq dihantar ke sekolah dengan pelbagai kerenah pagi, kadang-kadang nangis, kadang-kadang rengek, kadang-kadang rajuk, kadang-kadang terus tak masuk kelas dan yang pasti kena serah pada cikgu setiap pagi.

4. Separuh tahun serah pada Cikgu Fairuz separuh tahun lagi serah pada Cikgu Zah, terima kasih cikgu kerana sabar melayan kerenah Aniq.

5. Aniq memang unik pada perangainya, malu adalah satu sifatnya yang paling tebal, malu untuk 5 minit pertama.

6. Keletah bercakap menjadikan aniq seimbang dengan perangai merengeknya.

7. Semoga anakku akan sentiasa dilindungi Allah.

Sunday, October 31, 2010

PERGINYA SEORANG IBU TERCINTA

1. Pada 29.10.2010 jam 9.28 malam bonda tersayang telah kembali kerahmatullah di hospital seri manjung wad 8 katil 26 dihadapan anak-anak dan menantu.

2. Perjalanan bermula apabila mengetahui bahawa bonda mengidap barah hati pada 14.9.2010 selepas scan di hospital pantai ipoh. Tahap kesihatan bonda terus menurun sehinggalah saat menghembuskan nafas yang terakhir.

3. Sepenuhnya ruang dan peluang yang ada mulai tarikh 14.9.2010 telah digunakan oleh anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu untuk bersama bonda.

4. Sepanjang waktu tersebut tahap kesihatan bonda memang merisaukan walau semuanya telah redho dengan ketentuan namun melihatkan kesihatan yang semakin lemah amat menyentuh jiwa. Anak-anak, menantu-menantu dan cucu hanya mampu melihat tanpa boleh merasainya.

5. Bonda pergi dalam usia 70 tahun 5 bulan. Bonda yang sangat rapat dengan anak-anaknya, yang selama 25 tahun susah senang cuma dengan anak-anaknya sahaja. Begitulah betapa gigihnya seorang ibu yang menempuh hidup tanpa suami yang hanya anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu sahaja menjadi penghibur hati.

6. Bonda yang begitu hebat di mata anak-anak, menjadi tempat mengadu, menjadi tempat merintih, menjadi tempat bergembira kini semuanya hanya tinggal kenangan yang pastinya tidak akan luput walaupun seketika.

7. Aku berazam untuk setiap selepas solat pastinya akan menghadiahkan Alfatihah dan KulhuAllah untuk bonda dan ayahanda tercinta. Semoga Allah sentiasa memberikan peringatan kepada aku untuk sentiasa mengingati Bonda dan Ayahanda.

8. Betapa sekarang terasa sunyi selepas perginya bonda menghadap Ilahi. Ya Allah kau ampunkanlah dosa bonda dan ayahanda, kau cucurilah rahmat ke atas roh mereka berdua, kau tempatkan mereka berdua ditempat orang-orang beriman, kau lapangkanlah kubur mereka, kau masukkan lah mereka kedalam syurgaMu ya Allah.

Sunday, October 24, 2010

Majlis Ulama UMNO

1. Pada dasarnya ia adalah satu idea yang cukup baik.

2. Jawapan YB Senator Jamil Khir selaku pengerusi biro Agama UMNO juga cukup tepat.

3. Memang dah ada biro agama dalam UMNO cuma peranan dan tindakan biro ini sahaja yang kurang menyerlah sehingga tibul cadangan Majlis Ulama UMNO.

4. Inilah yang sering berlaku apabila sesuatu yang sedia ada tetapi lesu maka ingin mewujudkan yang baru yang hampir sama peranannya cuma lain orang yang menguruskannya.

5. Sepatutnya kalau ada kelemahan pada sedia ada yang perlu hanya bertindak menyedarkan yang sedia ada supaya lebih segar dan tidak lesu.

6. Banyak isu nasional yang berkaitan agama yang membawa kepada perselisihan pendapat sehingga membawa kepada sedikit krisis kefahaman. Disini lah medannya Biro Agama UMNO patut bertindak dalam membetulkan atau menyelaraskan keputusan supaya tidak wujud dalam satu organisasi tetapi banyak kenyataan berlainan dikeluarkan. Kalau perlu biar Pengerusi Biro sahaja yang keluarkan kenyataan.

7. Kelemahan berlaku apabila sesuatu isu itu terlalu lambat kenyataan dikeluarkan malah satu ketika terpaksa pulak membetulkan kenyataan pihak lain sebelum kenyataan sendiri dikeluarkan.

8. Pernah juga dahulu dicadangkan supaya jawatan Ketua Mufti Negara juga diwujudkan supaya penyelarasan sesuatu perkara berkaitan agama Islam dapat di selaraskan dan membimbing masyarakat memahami situasinya.

9. Semoga Islam terus berada pada haknya dan tetap terbela di bumi beruah ini.

Tuesday, September 7, 2010

Aidil Fitri 2010

1. Insyaallah aidil fitri akan disambut pada hari khamis atau jumaat. Yang pasti jumaat memang raya.

2. Aidilfitri tahun ni sambut dengan cara yang sederhana, semoga kesederhanaan ini akan menjadi cara hidup yang seterusnya.

3. Aidilfitri tahun ni juga disambut dengan sedikit kesedihan dan ada rasa keinsafan kerana Mak yang dikasihi tidak sihat. Kesihatan mak tidak baik sepanjang ramadhan. Semoga mak diberikan kesihatan yang baik.

4. Aidilfitri 2010 juga lebih menginsafkan kerana sesungguhnya perancangan kita baik namun ketentuan Allah lebih tepat. Acu merancang beraya tahun pertama dengan mertua namun panggilan ilahi lebih dahulu menjemput mertuanya. semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang beriman.

5. Aidilfitri tahun ni ada sedikit kegembiraan kerana Muhammad Aniq Muqri telah berjaya berpuasa. Semoga anak-anakku diberikan cahaya keimanan yang kukuh.

6. Salam aidilfitri 2010 semoga aidilfitri tahun ini menjadi titik tolak dalam menjalani kehidupan yang lebih sederhana.

Wednesday, September 1, 2010

MERDEKA 2010

1. Tahniah Malaysia kerana telah menyambut hari kemerdekaan yang ke 53. Satu usia yang sangat matang.

2. Malaysia berjaya mengekalkan kemerdekaan sehingga hari ini dan semoga ianya kekal hingga hari kiamat. Kekal dengan kuasa melayu sebagai pemerintah, kekal dengan sistem raja berpelembagaan, kekal dengan Islam sebagai agama rasmi, kekal dengan melayu sebagai bumiputera dan kekal dengan perpaduan yang terjalin sekarang.

3. Merdeka dalam suasana berpuasa di bulan Ramadhan sebaiknya lebih menginsafkan kita akan peri pentingnya mengekalkan kemerdekaan ini. Merdekakan diri dari hawa nafsu yang tak terkawal, merdekakan fikiran yang sentiasa ada hasad dengki dan buruk sangka, merdekakan lidah dari sentiasa membuat fitnah, mengutuk dan mengeji, merdekakan akal daripada sentiasa tunduk dengan telunjuk orang kepada bertindak atas telunjuk sendiri.

Monday, August 16, 2010

Buang Anak

1. Masih lagi terpapar kisah buang anak yang seolah-olah tidak ada kesudahannya.

2. Macam-macam usaha pihak kerajaan dan NGO buat untuk mengatasi masalah buang anak tetapi kenapa masih berlaku. Semua adalah kerana jiwa manusia-manusia ini sudah hitam kerana dosa yang banyak.

3. Jangan ditambah dosa membunuh setelah dosa berzina dilakukan. Kesedaran rohani sahaja dapat membendung gejala buang anak ini. Sedih melihat dalam surat khabar dan TV menunjukkan anak dibuang seperti tiada nilai.

4. Syukur juga kerana anak tersebut meninggal dunia. Sekurang-kurangnya anak tersebut dijamin syurga walau ibu dan bapaknya belum tahu nasib mereka.

5. Berfikir secara mudah mereka yang membuang anak ini tentunya telah melakukan kesalahan yang besar sehingga malu untuk berhadapan dengan realiti. Sanggup buang anak kerana belum ada pendakwaan yang membawa hukuman berat kepada pesalah.

6. Buang anak sehingga menyebabkan kematian apa lagi hukuman yang boleh melainkan hukuman mati sahaja yang selayaknya diterima oleh mereka.

7. Ayuhlah kerajaan jalankan cepat hukukman ini. Selain dakwah secara berterusan hukuman juga boleh jadi satu cara pendakwahan yang berkesan. Inilah indahnya Islam yang menjalankan pendakwahan dan hukuman secara bersama.

Monday, August 9, 2010

Ramadhan 2010

1. Semoga dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan 1431/2010 . Dapat berpuasa sepenuhnya dengan puasa yg sekurang-kurangnya puasa istimewa yg berpuasa seluruh pancaindera.

2. Ramadhan 1430/2009 telah setahun ditinggalkan namun masih banyak kesalahan rutin dilakukan. Kesan puasa ramadhan masih tidak sepenuhnya.

3. Tahun ini tekad untuk puasa yang mampu merubah cara hidup dan pemikiran ke arah lebih mendalami islam. Ramadhan bulan tazkirah.

4. Ramadhan 1431/2010 adalah ramadhan terakhir dalam usia 30an. Sebelum cecah 40an semestinya perubahan cara hidup dan pemikiran hendaklah lebih ke arah cara islam. Untuk diri sendiri, isteri dan anak-anak juga perlu di bawa ke arah kehidupan berpaksikan Islam. Insyaallah.

5. Ramadhan 1431/2010 akan berusaha supaya lebih banyak sedeqah.

6. Semoga ramadhan 1431/2010 adalah ramadhan terbaik untuk diri sendiri dan keluarga

Thursday, August 5, 2010

Setiap Kejadian Pasti Ada Hikmah

1. Pada 2.7.2010 Mak dimasukkan ke wad hospital Seri Manjung.

2. Alhamdulillah bukan sakit yang kronik cuma sedikit luka dalaman akibat panas.

3. Semua adik beradik balik untuk ziarah mak. Dah lama tak kumpul semua. Alhamdulillah kali ni semua ada.

4. Hubungan kami semua memang akrab. Kesepakatan masih utuh, biasa selisih pendapat tetapi semuanya atas kapasiti adik beradik.

5. Mak cukup gembira walau dalam sakit, cerita walau sedih, kuat walau lemah.

6. Kakak main peranan yang sangat baik. Intan dan Ateh setia menemankan mak di wad. Yang lelaki semua tetap tunggu.

7. Alang menunjukkan tanggungjawab yang baik, balik walau terbang dari labuan.

8. Abang balik ziarah walau terpaksa balik hari tetapi ini semua untuk mak.

9. Bengah terus dengan komitmen yang baik dalam menguruskan mak dan adik beradik yang lain.

10. Yeop macam biasa, Icam ambik alih ketua rumah, Acu segera balik walau ada meeting di KL, Ami terus ambik cuti semuani untuk kegembiraan mak.

11. Dua malam mak duduk wad kami semua berkumpul di rumah bengah. Terima kasih Bengah dan Kak Ju.

12. Inilah dikatakan hikmah dalam setiap kejadian. Kami dapat berkumpul sekeluarga.

Thursday, July 15, 2010

Penyatuan PAS-UMNO

1. Memang perlu ada usaha untuk satukan PAS-UMNO, bukan gabungan parti tetapi penyatuan dalam urusan berkaitan Islam, Melayu dan Negara.

2. Sejarah lalu memang menjadi iktibar dan kesannya wujudlah rasa kurang yakin dan kurang percaya, namun sejarah masih boleh diubah dengan wujudnya sejarah baru.

3. Orang melayu sendiri rasanya bukan hendak Parti PAS-UMNO digabungkan tetapi hanya mahu PAS-UMNO tetap sefaham, sekata dalam menegakkan Islam dan menaikan martabar melayu.

4. Sejarah persefahaman UMNO-MCA-MIC memang kuat sebelum ini tapi sejarah itu sedikit sebanyak telah padam selepas PRU12 kerana persefahaman itu sudah nampak longgar.

4. Gabungan PAS-DAP pernah berlaku tetapi sejarah telah membuktikan bahawa gabungan itu tidak kuat, sekarang gabungan itu kembali dengan tambahan PKR maka ini sejarah baru.

5. Tahun 2010 mungkinkah akan menjadi sejarah perubahan landskap politik negara apabila persefahaman PAS-UMNO terjalin.

Wednesday, July 7, 2010

Kuat Tak Semestinya Menang Lemah Tak Semestinya Kalah

1. Jangan takbur dengan rasa kuat kerana ada yang lain lebih kuat. Jangan putus asa kerana lemah kerana ada yang lebih lemah.

2. Minggu-minggu lepas beberapa insiden menguatkan lagi bahawa kuat belum menjanjikan menang. Brazil tewas, Argentina tewas, Roger Federer tewas di suku akhir Wimbledon, Tiger Woods kecundang di AT&T.

3. Boleh ambil iktibar dari insiden ini ialah BN. Walau telah memerintah sekian lama dan merasakan begitu kuat namun kekuatan itu belum menjanjikan kemenangan pada PRU13.

4. Menampakkan kekuatan kita sebenarnya adalah kelebihan kapada musuh. Peluang untuk musuh menewaskan kita adalah berdasarkan kekuatan yang kita ada.

5. Merasakan bahawa kita sentiasa kuat adalah sebenarnya melekakan kita untuk terus melakukan perubahan. Musuh tetap beruasaha untuk mengumpul kekuatan yang lebih untuk mengatasai kita.

Wednesday, June 30, 2010

Kenapa Diremehkan Daftar Mengundi

1. Kajian dibuat didapati nisbah 1:40. Ikut kajian ini maka orang melayu akan terus ketinggalan dalam satu lagi bidang penting negara iaitu hak mengundi.

2. Tidak ada makna sebagai majoriti penduduk tetapi bukan sebagai pengundi. Apalah ertinya ramai tetapi tiada hak untuk menentukan kerajaan.

3. DAP terus menuduh kenyataan nisbah ini sebagai unsur perkauman dan menakutkan rakyat. Biarlah mereka dengan tuduhan mereka apa yang penting orang melayu harus sedar betapa kita akan kehilangan kuasa memerintah jika keadaan ini berterusan.

4. Ayuh parti melayu, orang melayu, daftarlah sebagai pengundi bagi meneruskan kerajaan yang memerintah baik kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.

5. Ibu bapa, adik beradik, abang kakak jika ada lagi yang belum mendaftar daftarlah sekarang sebelum PRU 13. Jangan dah terantuk baru nak tengadah. Jangan dah tiada kuasa baru nak menyesal.

Tuesday, June 29, 2010

Ulama Dalam UMNO

1. Terbaru seramai 40 ulama muda telah mendaftar sebagai ahli UMNO. Tahniah kerana memilih satu cabang dalam usaha dakwah.

2. Politik juga adalah salah satu cabang usaha dakwah. Kekuasaan politik mampu untuk memertabatkan agama selagi mana kuasa politik itu disalurkan ke jalan yang benar.

3. Jangan sesekali kita cuba anggap bahawa politik dan agama tidak boleh disatukan. Bukti bahawa zaman rasullullah sendiri boleh dijadikan panduan bagaimana kekuasaan politik mampu memperkuatkan ketaqwaan dalam beragama.

4. UMNO sendiri pada asas penubuhan turut meletakkan agama sebagai perjuangan selain perjuangan untuk memerdekakan negara.

5. Penyertaan ulama muda ini sekaligus turut membuktikan bahawa UMNO juga adalah platform untuk dakwah kepada orang melayu.

6. Dalam usia muda dan semangat berkobar diharapkan ulama muda ini tetap istiqomah dalam menyerapkan dan menyinarkan kembali sinar Islam yang sememangnya ada pada UMNO.

7. Jangan terlalu leka dek habuan duniawi sehingga martabat yang diberi sebagai ulama muda semakin hari semakin suram. Kekuatan agama yang ada pada ulama muda ini diharap tidak tergugat dengan kesenangan duniawi.

8. Penyertaan ulama muda ini juga diharapkan agar memberi kekuatan kepada UMNO dalam menghadapi serangan pihak pembangkang terutama dalam isu agama. Selain itu mereka ini juga diharap dapat membantu kerajaan dalam memberi buah fikiran apabila menghadapi isu antara agama.

9. Berilah pandangan dalam segala hal kemaslahatan masyarakat namun jangan sesekali mengenepikan ulama yang telah sedia ada dalam UMNO. Berbincanglah sekiranya ada perselisihan pandangan.

10. Semoga penyertaan meraka ini adalah titik bermula kembali kekuatan beragama dalam UMNO.

Tuesday, June 22, 2010

Kenduri Lagi

1. Pada 12 Jun 2010 sekali lagi kenduri kahwin adik yang ke 9 Khairul Fahmi dengan Noraslinda.

2. Alhamdulillah semuanya berlangsung seperti yang dirancang.

3. Terima kasih kepada semua yang hadir kerana tanpa orang yang hadir maka tidak bermaknalah kenduri. tujuan kenduri pun memang untuk meraikan orang ramai.

4. Dalam dunia cyber sekarang jemputan pun boleh dibuat dengan teknologi ICT. Kalau dulu jemputan hanya secara lisan tetapi sekarang semua media digunakan untuk menjemput tetamu, Facebook, SMS, Email, Blog juga diguna untuk jemputanj kenduri.

5. Walaupun begitu cara tradisi masih digunakan untuk jemputan iaitu jemputan lisan dan kad.

6. Kenduri kali ini aku sebagai penjemput tetamu dan pembekal telur bersama Intan.

7. Kerja kenduri ni sebenarnya telah melalui proses transformasi yang besar, tiada lagi gotong royong masak, tiada lagi unsur sedeqah barang keperluan, tiada lagi unsur berpakat semuanya diuruskan oleh kontraktor yang dipilih.Yang penting mampu untuk bayaran yang dikenakan.

8. Suasana kenduri macam mana pun masih sama, semua hadir dengan ceria dan tuan rumah tetap dengan senyuman.

9. Macam biasa Yeop tetap dengan urusan menyambut tetamu, Bengah dan Alang terus melayan tetamu, Kakak dengan kerja urusan tetamu perempuan Kakju dan Kaklang dengan tetamu dari pihak pengantin perempuan, Kak Yong juga melayan tetamu, Intan sibuk dengan DJ, Ateh pulak sibuk dengan mamastikan makanan cukup, Acu ngan Azreen kali ni sibuk pulak ambik gambar dan layan tetamu keluarga, Icam masih sebagai pengapit, Aku biasa la sebagai penyambut tetamu dan sibuk gak la layan tetamu keluarga, Lynn paling sibuk layan Afiq ngan Adib. Semua anak sedara usung camera la untuk ambik gambar.

10. Mak cukup gembira dengan perjalanan kenduri yang lancar dan semuanya berkat kesepakatan kami sekeluarga.

11. Semoga kenduri kawin Icam nanti akan lebih meriah dan berkat lagi.

Wednesday, June 2, 2010

Kejamnya Rejin Zionist Israel

1. Terkejut dengan tindakan rejim haram israel yang sanggup menyerang kapal pengangkut bantuan kemanusiaan Flotilla Gaza iaitu Mavi Marmara.

2. Semua masyarakat dunia terutamanya umat Islam wajib mengutuk tindakan Israel ini.

3. Tahniah kepada semua negara yang telah menyemak kembali hubungan diplomatik dengan Israel walaupun sepatutnya hubungan itu tiada kerana Israel sendiri tiada negara.

4. Dalam urusan bantuan kemanusiaan Gaza ia bukan isu agama tetapi ia adalah isu sejagat dalam memberi bantuan kepada negara yang ditindas.

5. Tahniah kepada semua umat Islam di Malaysia yang telah mengadakan sembahyang hajat dan mendoakan keselamatan para sukarelawan.

6. Didoakan juga semoga semua yang terkorban adalah perjuangan Sahid dalam mempertahankan Agama Islam dan umatnya.

7. Didoakan juga semuga yang masih ditawan agar tetap iman dan sentiasa dilindungi Allah S.W.T dan kaum keluarga sentiasa bersabar.

Thursday, May 13, 2010

Aku Jadi Guru

1. Mulanya aku jadi guru pada tahun 1990- Guru ganti di SK Panchor, Pantai Remis

2. Masuk IPSI tahun 1992-1994- Opsyen Pengajian Melayu Sekolah Rendah, jadi sebelum tu maknanya 2 tahun la jadi guru ganti dan guru sandaran.

3. Belajar di IPSI cukup untuk membuatkan aku minat pada kerjaya guru ini. Terima kasih kepada semua Pensyarah yang mengajar aku di IPSI, Cikgu Ridzuan, Cikgu Jalil, Cikgu Bohari, Cikgu Edna, dan lain2...

4. Posting pertama di SK Tok Kah Dungun, Terengganu. Tak terfikir pun nak minta tukar walaupun Sitiawan dan Terengganu cukup jauh. Perjalanan pertama ke SK Tok Kah mengambil masa 14 jam naik bas. Pergi pun sorang-sorang.

5. Rumah pertama sebagai guru ialah kuaters SK Tok Kah, duduk bersama Abang Mat Lazim PT SK Tok Kah. Terima kasih cikgu-cikgu SK Tok Kah, Cikgu Azhar, Cikgu Salim, Cikgu Nordin,Cikgu Roslina, Ustazah Syarifah, Cikgu Kamaruddin dan lain2.....

6. Mengajar di SK Tok Kah cukup semangat. Hubungan dengan orang kampung sangat baik, hubungan dengan cikgu-cikgu sekolah lain cukup akrab. Setiap tahun ada perkhemahan, setiap tahun ada rombongan, setiap tahun ada pertandingan... cukup mengajar aku pentingnya seorang guru.

7. Selepas 5 tahun timbul semangat belajar semula. Tahun 1999 berjaya lanjut pelajaran di UPSI.

8. UPSI 1999-2002 lebih memberikan aku akan pentingnya ilmu dalam mengharungi kerjaya guru. Opsyen IT

9. Sekolah kedua posting SMJK Dindings, Pundut Lumut tahun 2002. Maka tamatlah perkhidmatan sebagai guru di SK Tok Kah.....Balik kampung sendiri.

10. Di SMJK Dindings lebih mencabar kesabaran aku sebagai seorang guru...SMJK Dindings juga menjadikan aku lebih berwibawa dalam pengurusan.... Ketua Panitia, Ketua Subjek, Guru Kelas, Ketua ICT, Guru Data, AJK PIBG, antara jawatan yang pernah disandang di SMJK Dindings....

11. Tahun 2006 bertugas pula di PPD Manjung...maka berhentilah sementara dari mengajar di bilik darjah...

12. Sekarang aku bertugas di PPD Manjung....Cikgu kah lagi aku buat masa ini....

Thursday, May 6, 2010

Susahnya Nak Fahamkan Orang

1. Dalam kes polis tembak remaja kenapa susah sangat orang ramai nak faham bahawa kejadian itu adalah kejadian yang semua orang tak nak tapi dah berlaku. Biarlah siasatan dijalankan dan tunggulah hasilnya bukan buat andaian sendiri.

2. 4 juta untuk Operasi Gerak Saraf. Fahamlah bahawa pilihanraya umpama perang strategi, persediaan, perancangan, tindakan semua yang terlibat ada kaedah masing-masing. Susahkah kita nak terima bahawa PAS juga pastinya ada strategi. Jadi faham-fahamlah bahawa PAS adalah parti politik.

3. Membeli undi semasa pilihanraya. BN, Pakatan Rakyat sama strateginya untuk meraih undi penyokong. Kenapa kalau BN tawarkan apa sahaja kebaikan kepada pengundi dikatakan beli undi tetapi jika Pakatan Rakyat bukan beli undi.

Wednesday, April 21, 2010

Peranan Bloggers dalam pilihanraya

Pada pilihanraya kecil Hulu Selangor kali ini nampaknya BN menggunakan kesempatan terbaik melalui blog. Perubahan yang baik apabila media baru digunakan dalam musim berkempen. Saban hari kita baca dan cuba memahami kehendak masyarakat yang diluahkan melalui media baru ini. Sekiranya media baru ini tidak diambil peduli maka keputusan pilihanraya sudah boleh diagak.

Satu lagi media yang BN tak boleh lupakan ialah SMS/MMS melalui telefon yang telah diguna pakai oleh pihak pembangkang secara meluas pada PRU lalu. Mungkin sedikit analisis boleh dibuat akan keberkesanan kempen melalui cara ini. Namun hakikatnya sesiapa sahaja yang menerima pujukan melalui SMS/MMS ini hati akan terusik juga.

Pilihanraya kecil Hulu Selangor ini juga memperlihatkan perubahan BN yang selama ini hanya sebagai defensif kini bertukar menjadi ofensif. Inilah sepatutnya kerana BN hendak merampas kembali kerusi Hulu Selangor, PKR pula ingin mempertahankan kerusi tersebut.

Sekali imbas kedua-dua calon mempunyai peluang yang sama rata. BN mempertaruhkan calon baru yang dilihat bersih manakala PKR mempertaruhkan calon yang berpengalaman dalam kerajaan dan dikatakan mempunyai prinsip memperjuangkan rakyat.

Dalam kerancakan berkempen kedua-dua pihak tidak seharusnya bertindak kasar atau melangkaui batas-batas perundangan. BN sebenarnya tidak lagi perlu memainkan isu pembangunan kerana modal ini sudah sekian lama digunakan. BN perlu menggunakan isu perkhidmatan terbaik yang boleh diberikan kepada pengundi Hulu Selangor.

Pemilihan calon anak tempatan adalah langkah yang bijak jika isu perkhidmatan yang akan ditawarkan kepada pengundi diberi keutamaan. PKR tidak mengutamakan anak tempatan tetapi masih mahu memberikan perkhidmatan terbaik untuk pengundi Hulu Selangor. Dalam satu keadaan pengundi sendiri tidak mengutamakan calon tempatan atau tidak, hanya yang penting parti yang bertanding dan dapat memenuhi kehendak mereka. Ini terbukti semasa PRK Bukit Gantang yang mana calon anak tempatan tewas kepada calon luar.

Pengundi kumpulan umur 40 ke bawah sebenarnya penentu kepada kemenangan calon. Jika kumpulan ini tidak didekati secara baik oleh BN maka boleh juga dijangka keputusan yang akan diperolehi. Selain itu pengundi yang tinggal diluar Hulu Selangor juga perlu dianalisis bilanganya. Mereka juga boleh memberi impak kepada keputusan. Kumpulan ini hanya balik untuk mengundi dan pilihan mereka sudah ada. Keperluan BN membawa balik seramai mungkin pengundi luar yang menyokong BN harus diberi keutamaan.

Berdasarkan PRU lalu majoriti kurang dari 200 adalah bukti bahawa peluang sama rata. Strategi kempen yang akan menentukan kemenangan. Selamat mengundi kepada semua pengundi di Hulu Selangor.

Tuesday, April 13, 2010

Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama

Jawatankuasa ini telah diluluskan oleh jemaah menteri pada Februari lalu. Setakat ini Jawatankuasa Fatwa Perak telah membantah termasuk juga pertubuhan PERKASA. JK Fatwa Perak bimbang akan wujud tuntutan tidak munasabah di kalangan penganut agama lain.

PERKASA bertindak tegas kerana Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama ini diletakkan dibawah seliaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Pertikaiannya kenapa tidak diletakkan di bawah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab mengenal pasti masalah yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama, termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat dan isu tanah perkuburan. Jika ini isu yang hendak diselesaikan sekiranya berbangkit maka sudah tentu Islam hendaklah mendahului agama-agama lain. Dengan kata lain jawatankuasa ini hendaklah dipengerusikan oleh seorang yang berilmu pengetahuan mengenai Islam yang tinggi dan diiktiraf oleh semua supaya keputusan yang dibuat tidak ada pertikaiannya.

Bersediakah ahli yang bukan Islam menerima pakai segala penyelesaian masalah nanti berpandukan sumber-sumber dari Al-Quran dan Sunnah. Jika mereka sudah bersedia maka jawatankuasa ini tidak akan ada masalah. Semua jelas bahawa Islam bukan setakat menyelamatkan umatnya sahaja tetapi ia juga penyelesaian kepada kemaslahatan ummah.

Selain itu jawatankuasa ini diwujudkan untuk menyelesaikan masalah bukannya untuk mewujudkan masalah dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan. Sekiranya ada tuntutan sudah tentu akan wujud tidak puas hati maka sebaiknya jawatankuasa ini dibubarkan sahaja.

Kaedah lain yang boleh diguna pakai ialah wujudkan perjumpaan berkala antara Mufti-mufti, ahli Fatwa dengan ketua-ketua agama lain dalam mendepani masalah yang berkaitan dengan agama.

Monday, April 12, 2010

Buang Anak

Kempen kami prihatin yang dijalankan oleh akhbar tempatan sangat baik. Semoga kesedaran dalam diri masyarakat akan bertambah. Masalah buang anak masih menjadi topik utama dalam kehidupan kita kebelakangan ini. Hampir setiap bulan pasti ada berita anak dibuang. Terbaru seorang anak dibuang didalam tong sampah di hulu selangor. Sedih dan pilu bila melihat berita tersebut.

Mungkin bila kita guna istilah buang anak lebih menyedarkan masyarakat berbanding buang bayi. Istilah anak itu sendiri akan membawa satu perasaan yang boleh menyentuh jiwa manusia.

Khutbah Jumaat pada 9.04.2010 juga turut berperanan menyedarkan akan dosa besar membuang anak. Namun kesinambungan dari khutbah Jumaat ini adakah sampai ke sasaran individu yang terlibat dengan kes buang anak ini.

Persoalannya satu khutbah Jumaat yang sangat baik isi kandungannya bagaimanakah boleh didengar dan difahami oleh semua golongan masyarakat. Sudah tentu kebanyakan orang lelaki yang bersembahyang Jumaat tidak akan menceritakan akan isi kandung khutbah yang didengarinya kepada kaum wanita. Kalau amalan menyampaikan semula isi kandungan khutbah Jumaat ini kepada kaum keluarga,sahabat handai dikalangan wanita insyaallah dakwah ini akan memberi kesan.

Bagaimana kaedah khutbah Jumaat dapat diakses oleh kaum wanita hendaklah difikirkan kerana kes buang anak ini sudah tentu melibatkan kaum wanita.

Tuesday, April 6, 2010

Pilihanraya Kecil Hulu Selangor

1. Sekali lagi BN diuji dengan pilihanraya kecil Hulu Selangor akibat dari penyandang meninggal dunia.

2. Sekali lagi BN terpaksa memerah keringat untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

3. Sekali lagi BN terpaksa menerangkan rasional memilih calon yang bakal bertanding.

4. Sekali lagi BN memerlukan kesetiaan setiap anggota parti supaya tidak ada sabotaj.

5. Sekali lagi BN perlu bertindak ofensif atau difensif dalam menghadapi PKR.

6. Sekali lagi BN perlu mamastikan supaya tidak ada unsur kecewa oleh ahli parti akibat salah pilih calon.

7. Sekali lagi BN mendambakan sokongan rakyat untuk memilih calon mereka.

8. Sekali lagi BN memerlukan semangat pasukan dalam mengharungi pilihanraya ini.

9. Sekali lagi BN sebenarnya perlu mengambil kira kehendak majoriti pengundi dalam menentukan calon.

10. Sekali lagi BN teruji dalam menunjukkan kesepakatan parti komponen.

11. Akhir sekali BN perlu muhasah diri adakah calon pilihan pengundi atau pilihan parti.

Tuesday, March 23, 2010

Anak Dilahirkan Tanpa Nikah

Kenyataan oleh Dato' Syed Mohd. Alwi, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara yang disiar dalam akhbar The Star hari ini Isnin 07 Rabi'ul Akhir 1431/ 22 Mac 2010 di mukasurat N.49 mengenai gejala kelahiran anak luar nikah dikalangan gadis Melayu beragama Islam.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan, bagi tahun 2009 sahaja, jumlah Anlun yang dilahir dan didaftarkan dikalangan gadis Melayu beragama Islam yang ialah 17,300. Ini bermakna setiap hari tahun lepas, purata 2 orang An-Lun dilahirkan oleh gadis Melayu beragama Islam.

Bagi tempoh 2004 sehingga 2009 pula, jumlahnya adalah 74,723. Ini bermakna setiap tahun purata An-Lun yang dilahirkan oleh gadis Melayu beragama Islam adalah seramai 14,945 orang. Ini bersamaan dengan purata 2 orang An-Lun dilahirkan setiap hari. (Petikan dari Blog Zulkifli Nordin)

Betapa takutnya kita apabila melihat pada perangkaan yang dikeluarkan olah Jabatan Pendaftaran Negara.

Sememangnya apabila berlaku sahaja kesalahan tentunya kita terus menunding jari kepada yang bersalah tetapi pernahkah kita terfikir yang pelaku tersebut telah dimaklumkah akan perlakuan itu salah.

Pendidikan diawal sememangnya sangat penting bagi membendung gejala ini. Remaja, dewasa, orang tua semuanya tidak terlepas dari melakukan kesalahan ini. Oleh itu semuanya perlu diberi pendidikan yang sempurna demi untuk membendung gejala ini. Lebih malang lagi apabila yang melakukannya adalah orang yang sememangnya tahu perkara itu salah.

Undang-undang dan hukuman telah ada (Undang-undang Islam terbaik). Namun mungkin penguatkuasaan sahaja yang masih lemah. Hukuman sepatutnya menyedarkan pesalah dan juga bagi mereka yang bercita2 nak buat salah.

Apa pun sekiranya kesalahan telah berlaku yang patut diberi perhatian ialah kesedarang kepada pesalah bahawa kebertanggungjawaban kepada kesalahannya dan anak tersebut hendaklah diutamakan. Bukan dengan membuang atau menyerahkan kepada yang tidak sepatutnya menerima serahan.

Stigma orang melayu memang tidak akan menerima anak angkat dari anak tanpa nikah. Disinilah persoalannya kemanakah perginya mereka yang dilahirkan ini. Sudahlah dilahirkan tanpa nikah malah kebajikan kehidupan mereka juga diabaikan. Lebih malang dan menakutkan lagi kiranya anak-anak ini diserahkan kepada pusat penjagaan kanak-kanak bukan Islam atau diserahkan kepada keluarga angkat bukan Islam. Ya Allah Selamatkanlah Bangsaku dari malapetaka ini dan berilah petunjuk kepada semua umat Islam akan kemuliaan Islam.

Tuesday, March 9, 2010

Buang Bayi

1. Kebelakangan ini kejadian dera dan buang bayi semakin menjadi-jadi.

2. Kenapa perkara ini berlaku tentulah manusia sudah hilang akal pertimbangan.

3. Anak yang tidak berdosa dibuang dan didera sehingga menemui ajal langsung tidak boleh diampunkan.

4. Jangan kerana kesilapan diri sendiri orang lain yang terima bala.

5. Jangan ditambah dosa lepas dengan dosa baru yang lebih berat hukumannya.

6. Orang yang baik ialah orang yang sentiasa mahu membetulkan kesilapannya.

Wednesday, March 3, 2010

Kegembiraan Mereka Adalah Kegembiraan Aku



1. Seronok bila tengok anak2 gembira.

2. Bawa keluarga bersiar-siar adalah salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian keluarga.

Tuesday, February 23, 2010

Keutamaan Sedekah

1. Sedekah ialah pemberian sesuatu kepada orang yang layak menerimanya.

2. Sedekah boleh dalam bentuk jasmaniah atau pun bentuk rohaniah, sedekah harta atau sedekah bacaan.

3. Sedekah boleh diberi kepada kaum keluarga ataupun orang lain tetapi sekiranya kaum keluarga lebih memerlukan maka afdhalnya kaum keluargalah.

4. Sedekah adalah satu amaln yang sangat Rasullullah sukai, terdapat dalam hadith yang menekankan tentang sedekah, Rasullullah ada berkata dari hadithnya bahawa sedekah itu ibarat air yang memadamkan api.

5. Marilah kita amalkan sedekah supaya dapat menghapuskan dosa2 kecil.

6. Ingatlah apabila matinya anak adam maka 3 perkara yang masih kekal, sedekah jariah, ilmu yang di manfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan kesejahteraan ibu bapanya.

Wednesday, February 10, 2010

MB PERAK

1. Sejarah negeri perak telah terlakar angkara perebutan hak MB antara PKR dan BN.

2. Sejarah juga telah terlakar dimana MB di putuskan oleh Mahkamah.

3. Pilihanraya ke 12 telah menukar landskap politik perak yang boleh mencetuskan kesedaran kapada pengundi tanpa parti.

4. Betapa bernilainya setiap undi yang diturunkan semasa pilihanraya. Bertenang dan rasionallah setiap pengundi sebelum mengundi.

5. Keputusan mahkamah sebulat suara mengesahkan Dr Zambry sebagai MB yang sah sekaligus mengiktiraf kuasa sultan dalam menentukan siapa MB. Sultan juga bertindak dalam bidang kuasa kanun negeri perak yang mana paduka sultan akan melantik sesiapa yang dirasakan sesuai sebagai MB berdasar sokongan majoriti.

6. Sejarah terlakar apabila pilihanraya ke 12 PKR gabungan DAP,PAS dan Keadilan memperolehi 31 kerusi berbanding BN 28 kerusi. Polemik tercetus apabila siapa yang bakal dilantik sebagai MB dari Pakatan. DAP kerusi terbanyak dalam Pakatan mencalonkan calon mereka tetapi kanun negeri perak menyelamatkan daripada perak diperintah oleh bukan melayu. Tersenarailah Ir Muhammad Nizar dari PAS walaupun hanya ada 6 kerusi.

7. Selepas 11 bulan mentadbir kekecohan dan politiking semakin hebat sehinggalah 2 ADUN dari Keadilan dan 1 dari DAP isytihar keluar parti dan menyatakan sokongan kepada BN.

8. Berdasarkan situasi semasa maka paduka sultan perak melantik Dr. Zambry sebagai MB baru untuk negeri perak.

9. Sekarang MB Perak adalah Dr. Zambry mengikut keputusan mahkamah. Kepada rakyat perak apa pun yang berlaku kita tetap seperti ini. Kita tetap mengharapkan setiap MB mesti memberi perkhidmatan yang baik untuk memakmurkan perak.

10. Tahniah kepada yang menang dan kepada yang kalah terimalah hakikat segalanya adalah ketentuanNya.

11. Kepada pemerintah memerintahlah dengan baik, telus, ikhlas, jujur dan adil. Kepada pembangkang jadilah pembangkang yang jujur dan ikhlas.

Friday, February 5, 2010

PERGI KENDURI

1. Pergi kenduri ni kalau makan jangan la penuh pinggan terutama kalau buffet.

2. Pergi kenduri ni kalau ramai anak jangan la nak suruh tuan rumah layan pandai2 la makan sendiri.

3. Pergi kenduri ni kalau dah kenyang pun makan la sedikit untuk hormat tuan rumah.

4. Pergi kenduri ni kalau boleh hulur2 la pada tuan rumah (Bukan wajib)

5. Ini lah gambar masa aku dan famili akau pergi kenduri rumah pak sedara. Muhammad Adib tak da dalam gambar sebab mak dia susah nak makan.

Wednesday, February 3, 2010

SELEPAS 1 BULAN

1. Selepas 1 bulan tunggu anak masuk kelas dan tunggu di sekolah akhirnya dia boleh ke sekolah seperti budak lain.

2. Selepas 1 bulan dipujuk kesekolah akhirnya dia mahu ke sekolah dan masuk kelas tanpa perlu ditunggu lagi.

3. Selepas 1 bulan dijanjikan macam-macam untuk pujuk ke sekolah akhirnya dia tak takut lagi.

4. Selepas 1 bulan diprovok kalau tak sekolah tak boleh beli mainan akhirnya dia setuju untuk sekolah.

5. Selepas 1 bulan dah ok tak tau pulak selepas cuti panjang nanti macam mana.

Wednesday, January 20, 2010

Daftar Sekolah Anak

1. Tahun 2010 anak sulung aku 5 tahun daftar ke sekolah agama. Memang mencabar nak sekolahkan anak yang pertama ni.

2. Lagi penat bila merengek tak nak sekolah. Perasaan takut, malu, tak yakin dan macam2 lagi bermain difikiran anak2 bila suruh sekolah.

3. Hari pertama alhamdulillah isteri aku (mak dia la) yang sabar melayan karenah dia nak sekolah. Pegi sekolah tapi tak nak masuk kelas. Kena tunggu sampai balik. Hari ke 2 dan seterusnya sama jugak.

4. Sekarang ni bual hal lagi tak nak masuk kelas kecuali mak dia duk dalam kelas sama. Masalah pulak ialah adik dia ikut tapi tak mahu masuk kelas. Abang nak belajar adik pulak kacau.

5. Ada sehari tu aku cuti dan cuba nak hantar dia sekolah, rupanya ayah ni kurang sikit sabornye berbanding mak dia. Menangis kena marah sebab tak nak masuk kelas.

6. Sebelum ni dengor citer je anak orang tak nak sekolah sekarang rase la sendiri anak tak nak sekolah.

7. Anak aku ni (Muhammad Aniq Muqri) sebenarnye semangat nak sekolah, bangun pun awal siap pun awal cuma tak berani nak masuk kelas, tambah lagi kalau tak de aorang tunggu. Kurang keyakinan diri.

8. Dah masuk minggu ke tiga masih kene tunggu. Sian isteri aku (mama dia la) kelam kabut dibuatnye. Nasib baik sabo orangnye. Kalau aku yang hantar kompom tak tunggu lama terus bawak balik je.

9. Apa pun anak aku baru 5 tahun. Harap2 lama2 nanti biasalah dia tu. Sangat2 berharap tahun depan 6 tahun tak malu dah. Masuk darjah satu terus sekolah macam biasa.

10. Terima kasih sangat2 pada isteri aku yang begitu sabor melayan karenah Muhammad Aniq Muqri bersekolah.